BERITA SEMASA

Ibu, dua anak lelaki maut dalam kebakaran rumah

KLUANG – Seorang ibu dan dua anak lelakinya maut selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Titiwangsa, di sini malam tadi.

Mangsa dikenal pasti sebagai Noraini Ibrahim, 49, serta dua anaknya, Khairul Nurhaziqq Khairulnizam, 18, dan Khairul Nurhadiff Khairulnizam, 11.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 10.44 malam.

Seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang kemudian dikejarkan ke lokasi dan tiba kira-kira lima minit selepas menerima panggilan.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat berkeluasan 16 kaki x 70 kaki, dengan kira-kira 50 peratus struktur rumah terbakar.

“Terdapat tiga mangsa terperangkap di dalam rumah dan kesemua mereka disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi,” menurut kenyataan itu.

Pasukan bomba menggunakan dua aliran dengan dua pancutan bagi memadam kebakaran yang berjaya dikawal pada pukul 12.32 tengah malam.

Operasi turut membabitkan dua jentera Sistem Tindakan dan Bantuan Kecemasan (SITRAK) serta sebuah Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button