1MDB, bekalan elektrik dan air pusat data jadi tumpuan Dewan Rakyat hari ini
KUALA LUMPUR – Status penyelesaian baki liabiliti bersih 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bernilai kira-kira RM20.1 bilion serta jaminan bekalan elektrik dan air ketika berlaku gangguan menjadi antara isu yang dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) akan meminta Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan anggaran hasil yang bakal diperoleh daripada tuntutan dan aset dalam proses pemulihan 1MDB, selain sasaran tahun bagi menyelesaikan sepenuhnya tanggungan berkenaan.
Persidangan turut dijangka memberi perhatian kepada kesan perkembangan industri pusat data terhadap keselamatan bekalan elektrik dan air, khususnya ketika berlaku kemarau atau gangguan bekalan.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) akan meminta kerajaan menjelaskan pelan kontingensi bagi memastikan operasi pusat data tidak menjejaskan keperluan asas rakyat.
Beliau turut mahu mengetahui syarat penggunaan air dan elektrik oleh pusat data ketika krisis, termasuk kemungkinan melarang pembinaan kemudahan itu di kawasan tertentu.
Selain itu, beliau akan meminta penjelasan sama ada kerajaan mewajibkan pusat data menggunakan air terawat semula serta menyediakan mekanisme keutamaan bekalan sekiranya berlaku gangguan.
Dalam isu pembangunan infrastruktur, Young Syefura Othman (PH-Bentong) akan meminta Menteri Kerja Raya menjelaskan perancangan menaik taraf rangkaian jalan persekutuan dan negeri di Bentong bagi menampung pertambahan trafik susulan pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Sementara itu, Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN-Kinabatangan) akan membangkitkan langkah strategik membantu murid miskin tegar yang berdepan keciciran pembelajaran jangka panjang (learning loss).
Beliau mahu kerajaan memastikan kekurangan akses pendidikan tidak terus menyebabkan golongan berkenaan terperangkap dalam kemiskinan.
Selepas sesi pertanyaan bagi jawab lisan, Dewan Rakyat dijadual meneruskan penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 oleh kementerian berkaitan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








