JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki OKU maut dipercayai terhidu asap dalam kebakaran rumah

KUANTAN – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) fizikal ditemukan maut dipercayai akibat terhidu asap tebal dalam kebakaran sebuah rumah teres di Taman Seri Mahkota Jaya, di sini pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.31 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, kebakaran melibatkan ruang tamu rumah dengan anggaran kemusnahan kira-kira 15 peratus.

“Semasa operasi pemadaman, bomba menemukan mangsa tidak sedarkan diri di katil dalam posisi duduk di dalam bilik berhampiran ruang tamu,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau berkata, mangsa, G Vithalinggam yang berusia lingkungan 60-an, tidak mengalami sebarang kesan melecur pada badan dan dipercayai meninggal dunia akibat terhidu asap tebal.

Katanya, ketika kejadian mangsa dipercayai bersendirian di rumah kerana adik perempuan serta iparnya keluar ke klinik bagi mendapatkan rawatan.

Operasi pemadaman melibatkan hampir 20 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas serta BBP Indera Mahkota.

Mohd Razam berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, adik perempuan mangsa, G Lomba, 64, berkata, dia hanya mengetahui kejadian tersebut selepas dihubungi jiran pada pukul pukul 10 pagi.

Menurutnya, sebelum keluar ke klinik sekitar pukul 7 pagi, dia sempat menyediakan sarapan dan melihat abangnya sudah bangun daripada tidur.

Lomba berkata, beliau menjaga abangnya sejak tiga tahun lalu selepas mangsa menjalani pembedahan kaki akibat komplikasi penyakit diabetes lebih dua tahun lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button