JENAYAH & MAHKAMAH

Lori bahan kes kemalangan maut terbakar depan IPD Kuala Pilah

KUALA PILAH – Sebuah lori yang juga barang kes kemalangan maut yang diletakkan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah, di sini, secara tiba-tiba terbakar, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku ketika lori berkenaan yang ditahan untuk tindakan lanjut, diparkir di luar kawasan IPD Kuala Pilah berikutan faktor saiz dan kesesuaian lokasi simpanan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 2.45 pagi.

Sehubungan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Pilah membantu memadamkan kebakaran itu, sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh kira-kira 20 minit.

“Siasatan awal mendapati lori itu adalah barang kes bagi satu kemalangan jalan raya yang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kemalangan dipercayai berlaku di Jalan Kuala Pilah- Batu Kikir membabit sebuah lori serta dua kereta lain sehingga mengakibatkan seorang mangsa meninggal dunia,” katanya yang memaklumkan lori itu bersama dua kenderaan lain ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut di PUSPAKOM.

Setakat ini, punca kebakaran masih disiasat dengan bantuan pihak forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button