BERITA SEMASALUAR NEGARA

Letupan penyaman udara cetus kebakaran, 61 terbunuh di Iraq

BAGHDAD – Sekurang-kurangnya 61 orang terbunuh selepas kebakaran besar memusnahkan sebuah pusat beli-belah lima tingkat yang baru mula beroperasi di bandar Kut, timur negara ini, lewat malam kelmarin.

Menurut pihak berkuasa tempatan, api marak dengan pantas menyebabkan ramai mangsa gagal menyelamatkan diri, dengan kebanyakan kematian dilaporkan akibat sesak nafas selepas terperangkap di bahagian atas bangunan, termasuk dalam bilik air dan lif.

Jurucakap pertahanan awam berkata, kebakaran dipercayai bermula di bahagian minyak wangi dan kosmetik di tingkat dua Corniche Hypermarket Mall sebelum merebak ke seluruh struktur bangunan.

“Api yang merebak dalam masa singkat menyukarkan usaha menyelamat, terutamanya di bahagian atas,” katanya.

Meskipun punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan, seorang mangsa yang terselamat mendakwa kejadian bermula apabila sebuah penyaman udara di tingkat dua meletup dan mencetuskan kebakaran besar.

“Sebaik sahaja alat penghawa dingin itu meletup, api menyambar ke semua arah. Kami tidak sempat berbuat apa-apa, semuanya berlaku terlalu pantas,” jelasnya.

Insiden itu turut meragut nyawa lima ahli keluarga doktor tempatan, Nasir al-Quraishi, yang ketika itu berada di pusat beli-belah berkenaan untuk makan malam.

“Kami keluar kerana mahu lari daripada gangguan bekalan elektrik di rumah. Malangnya, kami memilih tempat dan masa yang salah. Api datang terlalu cepat, dan mereka tidak sempat melarikan diri,” ujarnya.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Iraq dalam satu kenyataan memaklumkan lebih 45 orang berjaya diselamatkan oleh pasukan pertahanan awam.

“Mangsa yang terselamat termasuk pelanggan restoran dan kakitangan pasar raya yang terletak di dalam bangunan tersebut.

“Bagaimanapun, jumlah sebenar mangsa mungkin meningkat memandangkan proses pencarian masih diteruskan,” jelasnya.

Menurut pegawai kesihatan tempatan, Jabar al-Yassiri, sebanyak 18 mayat masih belum dikenal pasti akibat rentung teruk dan memerlukan masa untuk proses pengecaman identiti.

“Keadaan mayat sangat menyedihkan. Kami akan menjalankan ujian lanjut untuk memastikan identiti mereka sebelum diserahkan kepada keluarga,” katanya.

Susulan insiden itu, Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani, mengarahkan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kebakaran serta tahap keselamatan bangunan tersebut.

Pemeriksaan menyeluruh terhadap struktur bangunan yang baru dibuka itu turut dijalankan bagi mengelakkan tragedi sama berulang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button