BERITA SEMASA

Kebakaran Jeti Chew: Peniaga rugi RM1 juta sekelip mata

GEORGE TOWN – Kebakaran yang memusnahkan lima premis perniagaan di Jeti Chew, Pengkalan Weld, awal pagi Sabtu menyebabkan seorang pengusaha kedai cat kereta mengalami kerugian dianggarkan sehingga RM1 juta.

Hong Jing Lian, 60, yang menjalankan perniagaan di lokasi itu sejak 1997 berkata, keseluruhan barangan dalam premisnya termasuk cat, thinner serta tiga kenderaan pelanggan musnah dalam kebakaran.

Menurutnya, kebakaran dipercayai bermula dari premis lain sebelum merebak dengan pantas selepas jam 1 pagi.

“Semuanya terbakar termasuk cat dan thinner. Api mudah merebak kerana terdapat banyak barangan mudah terbakar di dalam kedai saya.

“Saya sudah melabur banyak wang dalam perniagaan ini sejak hampir 30 tahun lalu. Saya anggarkan kerugian kira-kira RM1 juta, termasuk tiga kenderaan yang dihantar untuk dicat,” memetik Buletin TV3 online.

Tiga kenderaan berkenaan ialah Suzuki Swift, Mercedes-Benz C-Class dan BMW.

Hong berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premisnya menunjukkan tiada kebakaran berlaku sehingga 12.59 tengah malam.

Katanya, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan daripada seorang rakan sebelum bergegas ke premis berkenaan dari rumahnya di Farlim.

“Sebaik saya tiba, semuanya sudah musnah,” katanya lagi.

Sementara itu, pengusaha percetakan baju-T, Toh Aik Aun, 50, berkata perniagaannya yang sudah beroperasi di Jeti Chew hampir 30 tahun turut musnah dalam kebakaran.

Toh berkata, dia menerima panggilan memaklumkan kejadian pada jam 1.08 pagi.

“Semuanya terbakar. Ratusan helai baju-T yang belum sempat dihantar kepada pelanggan turut musnah,” katanya lagi.

Dia berkata, jumlah kerugian keseluruhan masih dalam proses dinilai sebelum menentukan tindakan selanjutnya.

Dalam kejadian itu, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke sebuah stesen minyak berhampiran serta kawasan perumahan.

Punca kebakaran dan jumlah keseluruhan kerugian masih dalam siasatan.

Jeti Chew yang terletak di pesisir George Town merupakan antara penempatan warisan masyarakat Cina yang terkenal di Pulau Pinang.

Penempatan yang dibina di atas tiang kayu di atas laut itu mula berkembang sejak abad ke-19 dan menjadi antara komuniti persatuan Cina tertua di negeri berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button