Seorang rentung dalam tragedi kebakaran rumah setinggan di Bintulu
KUCHING – Seorang individu ditemukan rentung dalam tragedi kebakaran besar yang memusnahkan kira-kira 30 rumah setinggan di pekan Sangan, Tatau dalam Bahagian Bintulu, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, identiti mangsa masih belum dikenal pasti setakat ini.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.18 malam, sebelum menggerakkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, komander operasi mengesahkan kebakaran membabitkan kira-kira 30 rumah setinggan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sangan Iban, dan kesemua struktur terbabit musnah sepenuhnya.
“Lokasi kebakaran terletak di seberang sungai dan tidak mempunyai akses jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan operasi terpaksa menggunakan perahu milik penduduk kampung bagi memindahkan peralatan pemadaman serta menyeberangi sungai untuk sampai ke lokasi kebakaran.
“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan rentung pada pukul 2.36 pagi dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti identitinya.
“Pasukan operasi juga sedang mengumpul maklumat mengenai jumlah sebenar penduduk yang mendiami kawasan setinggan berkenaan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








