Lebih 250 rumah musnah dijilat api dalam kebakaran besar di Jakarta
JAKARTA – Lebih 250 buah rumah musnah dijilat api dalam kebakaran besar yang melanda kawasan penempatan padat penduduk di Kebon Kosong, Kemayoran, Jakarta Pusat malam tadi.
Kejadian yang berlaku sekitar pukul 8.55 malam waktu tempatan itu turut menjejaskan lebih 600 penduduk dan dipercayai berpunca daripada litar pintas elektrik.
Ketua Polis Kemayoran, Kompol Agung Ardiyansyah berkata, siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula dari sebuah rumah milik penduduk sebelum merebak dengan pantas ke kediaman berhampiran.
“Siasatan awal menunjukkan kebakaran dipercayai berpunca daripada korsleting atau litar pintas elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, seramai enam orang dilaporkan cedera dan dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan, manakala sebanyak 35 jentera bersama 165 anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian dan berjaya mengawal kebakaran pada pagi tadi.
Setakat ini, pasukan bomba masih menjalankan kerja-kerja penyejukan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Polis turut mengawal kawasan kejadian serta mengambil keterangan beberapa saksi bagi membantu siasatan lanjut.
Susulan kebakaran itu, ratusan penduduk yang kehilangan tempat tinggal ditempatkan di pusat pemindahan sementara, manakala pihak berkuasa sedang menjalankan penilaian kerosakan dan menyalurkan bantuan kecemasan kepada mangsa yang terjejas.
Kebakaran berkenaan disifatkan sebagai antara insiden kebakaran terbesar yang berlaku di Jakarta dalam tempoh kebelakangan ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








