RM467,140 denda, 3,638 jam khidmat masyarakat kes buang sampah – KPKT
KUALA LUMPUR – Sebanyak RM467,140 denda direkodkan bagi kesalahan membuang sampah kecil, selain pelaksanaan hukuman khidmat masyarakat berjumlah 3,638 jam sepanjang Januari hingga September tahun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sebanyak 8,960 operasi penguatkuasaan dijalankan di tujuh negeri dalam tempoh berkenaan menerusi Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Menurut beliau, operasi itu turut menyaksikan sebanyak 17,145 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan terhadap pihak yang melakukan kesalahan berkenaan.
“Pendekatan ini menggabungkan ketegasan undang-undang dengan pendidikan sivik bagi meningkatkan tanggungjawab masyarakat terhadap kebersihan awam.
“Kebersihan mencerminkan ketamadunan. Inilah komitmen KPKT untuk memastikan negara kekal bersih, mampan dan bermaruah.
“Perintah Khidmat Masyarakat bertujuan mendidik pesalah supaya memahami bahawa menjaga kebersihan awam ialah tanggungjawab bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Dasar bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Baca juga : 111 pesalah kes buang puntung rokok diarah jalani perintah khidmat masyarakat
Dalam pada itu, Nga berkata KPKT akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan 2027 bagi memastikan kebersihan negara sentiasa terpelihara.
Usaha itu juga penting bagi mengekalkan imej positif Malaysia di mata pelancong yang berkunjung ke negara ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








