BERITA SEMASA

Indonesia sasar padam kebakaran hutan dalam tempoh sebulan

JAKARTA – Indonesia menyasarkan semua kebakaran hutan dan tanah di negara itu dapat dipadamkan dalam tempoh kurang sebulan, sambil menilai tawaran bantuan antarabangsa berdasarkan keperluan serta keberkesanannya dalam operasi di lapangan.

Menteri Alam Sekitar Indonesia, Jumhur Hidayat berkata, pihaknya perlu memastikan bantuan yang diterima mampu mempercepat usaha pemadaman, terutama di kawasan yang masih terjejas teruk.

Menurutnya, penghantaran anggota dalam jumlah kecil mungkin tidak memberikan kesan besar memandangkan puluhan ribu petugas sudah digerakkan bagi menangani kebakaran berkenaan.

Begitu juga dengan tawaran pesawat pengebom air yang perlu dinilai berdasarkan kesesuaian dan keperluan operasi semasa.

Bercakap pada satu forum di Jakarta, Selasa lalu, Jumhur tidak menyatakan negara yang menawarkan bantuan kepada Indonesia.

Bagaimanapun, Malaysia sebelum ini menawarkan pesawat pemadam kebakaran, tiga helikopter serta 52 anggota bagi membantu operasi berkenaan, manakala Singapura turut menyatakan kesediaan membantu sekiranya diperlukan.

Jumhur berkata, berdasarkan perbincangan dengan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), operasi pemadaman dijangka mengambil masa beberapa minggu, dengan sasaran keseluruhan kebakaran dapat dikawal dalam tempoh kurang sebulan.

“Bagaimanapun, memandangkan intensitinya sudah mula berkurangan, diharapkan ia dapat diselesaikan dalam tempoh kurang sebulan,” katanya seperti dilaporkan berita antarabangsa.

Operasi ketika ini tertumpu di Kalimantan Tengah dan Sumatera Selatan, dengan bekalan air terhad serta kesukaran mengakses kawasan tertentu menjadi antara cabaran utama.

Pihak berkuasa sebelum ini memaklumkan operasi darat lebih banyak digunakan di sesetengah kawasan kerana asap tebal menyukarkan pergerakan helikopter.

Kebakaran hutan dan tanah yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu turut mencetuskan jerebu rentas sempadan, meningkatkan masalah pernafasan di tiga negara serta menyebabkan sekolah di beberapa kawasan di Malaysia, termasuk Johor, ditutup.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button