Tito mohon maaf, tegaskan hargai bantuan Malaysia kepada bencana Aceh
JAKARTA – Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tito Karnavian, hari ini memohon maaf secara terbuka berhubung kenyataannya sebelum ini yang menimbulkan salah faham atau persepsi negatif berhubung bantuan rakyat dan Kerajaan Malaysia kepada mangsa bencana di Aceh.
Beliau menegaskan, beliau tidak pernah berniat meremehkan sumbangan dan sokongan Malaysia sebaliknya kenyataannya telah disalah tafsir sehingga mencetuskan polemik, termasuk reaksi bekas Menteri Luar Malaysia, Tan Sri Rais Yatim, yang meluahkan rasa kecewa.
“Saya sama sekali tidak berniat untuk memperkecilkan bantuan dan sokongan daripada rakyat Malaysia kepada Aceh. Jika kenyataan saya disalah tafsir dan menimbulkan rasa kurang senang, saya mohon maaf,” kata Tito kepada media, semalam.
Tito turut menegaskan bahawa hubungan peribadi dan profesionalnya dengan Malaysia telah terjalin lama, bermula sewaktu kerjasama keselamatan pasca pengeboman Bali semasa beliau berkhidmat dalam pasukan polis dan Densus 88, kemudian ketika memegang jawatan Ketua Polis Negara sebelum dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri.
Beliau menambah, penekanan kenyataannya sebelum ini adalah untuk menyerlahkan usaha besar kerajaan Indonesia di semua peringkat dari daerah hingga pusat yang turut memainkan peranan penting dalam pengurusan bencana, walaupun banyak dilaksanakan tanpa liputan media meluas.
Katanya, sumbangan masyarakat antarabangsa, termasuk Malaysia, tetap dihargai, namun pengorbanan petugas tempatan dan jentera kerajaan juga wajar diberi pengiktirafan setimpal bagi mengekalkan semangat kebersamaan dalam menghadapi musibah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








