Gol saat akhir dibatal, Malaysia seri 3-3 dengan Perancis
KUALA LUMPUR – Skuad hoki lelaki negara terlepas peluang meraih kemenangan dramatik selepas gol Fitri Saari kira-kira 30 saat sebelum tamat permainan dibatalkan pengadil ketika Malaysia seri 3-3 dengan Perancis dalam aksi kedua Kumpulan B Piala Dunia Hoki 2026 di Belfius Hockey Arena, Belanda, semalam.
Malaysia yang mahu bangkit selepas tewas 1-5 kepada juara bertahan dalam aksi pertama hampir melakar kemenangan apabila melancarkan serangan balas pantas pada penghujung perlawanan.
Bagaimanapun, jaringan Fitri yang pada awalnya disambut sebagai gol kemenangan dibatalkan selepas pengadil dari Singapura, Lim Hong Zhen membuat semakan menerusi video referral.
Malaysia bermula baik apabila Shello Silverius membuka tirai jaringan menerusi gol padang pada minit kelima.
Perancis kemudian menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Victor Charlet pada minit ke-19.
Charlet berpeluang menambah jaringan pada minit ke-23, 26 dan 27, namun gagal menyempurnakan ketiga-tiga pukulan sudut penalti.
Memasuki suku ketiga, Perancis mengambil kesempatan terhadap kekalutan pertahanan Malaysia apabila Louis Haertelmeyer menyempurnakan gol padang pada minit ke-37.
Speedy Tigers kembali bangkit dan menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti hasil jaringan Shello pada minit ke-45.
Malaysia kemudian kembali di depan pada minit ke-57 apabila Akhimullah mudah menampan masuk hantaran lintang Azrai Aizad Abu Kamal.
Namun, kelebihan itu hanya bertahan dua minit selepas Timothee Clement menyamakan kedudukan buat Perancis pada minit ke-59.
Drama tercetus pada penghujung permainan apabila Malaysia melakukan serangan balas pantas dengan kira-kira 30 saat permainan berbaki.
Fitri berjaya meledakkan jaringan yang disangka gol kemenangan dan ke-100 beliau di peringkat antarabangsa, namun pengadil membatalkannya selepas semakan video.
Keputusan seri 3-3 menyaksikan Malaysia terpaksa berpuas hati dengan satu mata dan perlu menghadapi cabaran lebih sukar apabila berdepan Belgium dalam aksi terakhir Kumpulan B pada Rabu.
Belgium merupakan naib juara edisi terdahulu dan antara pasukan pilihan untuk mara ke pusingan seterusnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








