3 perompak larikan barang kemas RM1.7 juta dalam masa 2 minit di Genting Highland
PETALING JAYA – Tiga lelaki hanya mengambil masa kira-kira dua minit untuk melarikan pelbagai barangan kemas dan emas bernilai hampir RM1.7 juta dari sebuah kedai emas di Sky Avenue, Genting Highlands, dalam rompakan pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai menaiki sebuah kenderaan sebelum menuju ke Genting Highlands bagi melakukan rompakan.
Menurutnya, suspek memakai topi dan pelitup muka selain membawa senjata seperti kapak dan kuku kambing ketika menyerbu premis terbabit.
“Semua mereka kemudian dikesan menuruni Genting Highlands sejurus melakukan rompakan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata, usaha mengesan suspek kini giat dijalankan membabitkan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Kontinjen Pahang dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.
Katanya, tindakan berkenaan dibuat berdasarkan maklumat risikan serta hasil siasatan yang sedang dijalankan.
Sementara itu, sumber memaklumkan polis turut melancarkan Op Tutup kira-kira jam 12 tengah hari hingga petang tadi bagi mengesan kenderaan yang digunakan suspek.
Bagaimanapun, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kenderaan berkenaan dipercayai sudah melepasi pusat pemeriksaan sebelum operasi itu dilaksanakan.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi, ketiga-tiga suspek dilaporkan menyerbu kedai berkenaan sebelum melarikan pelbagai jenis barang kemas dan emas.
Kejadian itu turut menjadi perhatian selepas video dan gambar yang dipercayai memaparkan sekumpulan individu sedang merompak sebuah kedai di pusat beli-belah di Genting Highlands tular di media sosial.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








