BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Harga emas susut 10 peratus, prestasi mingguan terburuk sejak 2008

KUALA LUMPUR – Harga emas menjunam hampir 10 peratus minggu ini, menandakan kemerosotan mingguan paling buruk, sekali gus meletakkannya di landasan mencatat prestasi bulanan terlemah sejak Oktober 2008.

Walaupun mengalami tekanan ketara, logam berharga itu masih mencatat kenaikan lebih lima peratus sepanjang 2026, hasil lonjakan besar sebelum tercetusnya konflik di Teluk Parsi, menurut laporan CNBC.

Dalam perkembangan berkaitan, niaga hadapan perak turut merosot lebih dua peratus kepada AS$69.66, paras penutup terendah sejak Disember.

Logam itu kini mencatat kejatuhan mingguan ketiga berturut-turut dengan susut lebih 14 peratus, selain turun lebih satu peratus bagi tahun ini.

Kejatuhan pada Jumaat lalu meneruskan tekanan yang bermula sehari sebelumnya apabila harga spot emas susut kira-kira tiga peratus, dipacu kebimbangan terhadap kesan ekonomi susulan konflik melibatkan Iran.

Ketidaktentuan pasaran minyak turut menjejaskan sentimen pelabur global sejak tercetusnya konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran, dengan harga minyak melonjak melepasi AS$112 (RM526.40) setong pada Jumaat.

Dalam masa sama, pasaran saham Amerika Syarikat turut tertekan apabila indeks utama seperti Purata Perindustrian Dow Jones dan Komposit Nasdaq menghampiri kejatuhan 10 peratus daripada paras tertinggi terkini, yang lazimnya dianggap sebagai fasa pembetulan pasaran.

Presiden Donald Trump pula menegaskan beliau tidak menyokong sebarang gencatan senjata dalam konflik dengan Iran.

Penganalisis ekuiti logam dan perlombongan SP Angel, Arthur Parish berkata, ketidaktentuan harga emas sejak kebelakangan ini sebahagiannya berpunca daripada rali panjang sebelum serangan Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran pada 28 Februari.

Menurutnya, kebanyakan pergerakan harga kini didorong oleh dagangan momentum yang semakin berkurangan, selepas kemasukan besar pelabur termasuk dana lindung nilai dan pelabur runcit ketika fasa kenaikan sebelum ini.

“Sebahagian besar pelabur ini tidak memegang emas untuk jangka panjang. Kini mereka mula keluar dari pasaran, yang mungkin membuka ruang kepada kenaikan baharu pada masa depan,” katanya.

Terdahulu, emas dan perak masing-masing melonjak 66 peratus dan 135 peratus sepanjang 2025, sebelum memasuki fasa tidak menentu pada 2026, termasuk kejatuhan harian terbesar niaga hadapan perak sejak 1980-an pada akhir Januari.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button