BERITA SEMASALUAR NEGARA

Lonjakan harga bahan api: Air India kurangkan hampir 100 penerbangan

NEW DELHI – Syarikat penerbangan nasional India, Air India dilapor akan mengurangkan hampir 100 penerbangan susulan peningkatan mendadak kos bahan api jet, sekali gus memberi tekanan besar kepada operasi syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Campbell Wilson, berkata, syarikat itu telah mengurangkan operasi antarabangsa bagi Mei berikutan kenaikan harga bahan api serta sekatan ruang udara di rantau sekitar India yang meningkatkan kos penerbangan.

Menurut beliau, keadaan itu dijangka berlarutan susulan gangguan bekalan bahan api akibat penutupan Selat Hormuz, sekali gus memaksa syarikat melaksanakan pengurangan tambahan bagi Jun dan Julai.

“Kenaikan mendadak harga bahan api jet, ditambah dengan penutupan ruang udara serta laluan penerbangan yang lebih panjang, menjadikan banyak penerbangan antarabangsa tidak lagi menguntungkan,” katanya.

Perkembangan itu berlaku beberapa hari selepas Federation of Indian Airlines memberi amaran bahawa industri penerbangan negara itu berada dalam tekanan kewangan serius akibat kenaikan kos bahan api dan sekatan operasi yang berterusan.

India yang mengimport hampir 88 peratus minyak mentahnya dilihat amat terdedah kepada kejutan harga global, khususnya susulan konflik di Timur Tengah yang melibatkan ketegangan antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran.

Krisis bahan api itu turut memberi kesan kepada syarikat penerbangan lain apabila United Airlines dan Lufthansa dilaporkan sedang mempertimbangkan pembatalan penerbangan atau kenaikan tambang.

Laporan media tempatan menyebut, Air India akan mengurangkan laluan ke Eropah, Amerika Utara, Australia dan Singapura bermula Jun ini.

Wilson berkata, syarikat yang sedia mencatat kerugian itu tidak mempunyai pilihan selain mengecilkan jadual penerbangan sehingga Julai, memandangkan bahan api jet menyumbang hampir 40 peratus daripada kos operasi.

“Kami kesal dengan gangguan kepada pelanggan dan jadual kru, dan berharap situasi di Asia Barat kembali stabil serta Selat Hormuz dibuka semula secepat mungkin,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button