Serangan besar-besaran gegar Isfahan, letupan dahsyat cetus kebimbangan global
TEHRAN – Serangan besar-besaran ke atas bandar Isfahan mencetuskan letupan dahsyat sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap eskalasi konflik di Asia Barat.
Perkembangan itu menjadi perhatian selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sendiri berkongsi rakaman video memaparkan beberapa siri letupan kuat di bandar strategik Iran berkenaan, awal pagi ini.
Rakaman tersebut menunjukkan kebakaran besar dengan bebola api yang meletup ke udara, dipercayai susulan serangan ke atas sebuah depoh peluru utama di Isfahan.
Bagaimanapun, Trump tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai kandungan video itu, manakala kesahihan rakaman berkenaan belum dapat disahkan secara bebas.
Menurut laporan media antarabangsa, serangan tersebut dipercayai dilancar secara bersama oleh Amerika Syarikat dan Israel, menyasarkan kemudahan ketenteraan penting termasuk depot peluru dan infrastruktur strategik di bandar itu.
Seorang pegawai Amerika Syarikat yang dipetik media berkata, serangan itu menggunakan bom ‘bunker buster’ seberat 2,000 paun (kira-kira 907 kilogram) bagi menembusi sasaran bawah tanah.
Katanya, penggunaan senjata penembus dalam jumlah besar menyebabkan letupan sekunder yang kuat sehingga menghasilkan gelombang kejutan serta kebakaran besar di kawasan sekitar.
Isfahan yang mempunyai kira-kira 2.3 juta penduduk merupakan lokasi strategik yang menempatkan kemudahan ketenteraan dan dipercayai berkait dengan aktiviti nuklear Iran.
Konflik yang kini memasuki bulan kedua itu menyaksikan serangan berterusan ke atas pelbagai sasaran di Iran, termasuk kemudahan industri, pangkalan tentera dan infrastruktur tenaga.
Terdahulu, Trump turut memberi amaran bahawa Amerika Syarikat sedia memusnahkan kemudahan tenaga serta infrastruktur penting Iran sekiranya rundingan damai gagal dicapai dalam masa terdekat.
Situasi itu sekali gus menimbulkan kebimbangan masyarakat antarabangsa terhadap kemungkinan konflik lebih besar, ketika beberapa negara serantau giat mencari jalan penyelesaian diplomatik bagi meredakan ketegangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








