108 kelasi hilang kapal perang Iran tenggelam berhampiran Sri Lanka
ISLAMABAD – Sekurang-kurangnya 108 kelasi dilaporkan hilang selepas sebuah kapal perang milik Iran dipercayai diserang kapal selam asing berhampiran perairan Sri Lanka.
The Daily Mirror melaporkan, seramai 78 kelasi lain turut cedera dalam kejadian tersebut, namun identiti kru yang terlibat masih belum didedahkan.
Menurut laporan itu, kapal perang berkenaan tenggelam di perairan selatan Sri Lanka dan operasi mencari serta menyelamat kini dijalankan oleh tentera laut dan tentera udara negara tersebut.
Operasi berkenaan memberi tumpuan kepada usaha menyelamatkan kru kapal IRIS Dena di perairan berhampiran bandar Galle.
Semalam pihak berkuasa memaklumkan operasi itu dimulakan selepas kapal tersebut menghantar panggilan kecemasan yang menyatakan ia telah diserang.
IRIS Dena merupakan kapal frigat kelas Moudge yang berkhidmat dalam Armada Selatan Tentera Laut Iran.
Mangsa yang cedera dilaporkan menerima rawatan di Karapitiya Teaching Hospital, menurut pihak berkuasa tempatan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Sri Lanka setakat ini belum mengesahkan sama ada kapal perang Iran tersebut benar-benar diserang.
Sebelum kejadian itu, kapal berkenaan dilaporkan menyertai latihan tentera laut pelbagai negara MILAN 2026 serta tinjauan armada yang diadakan di Visakhapatnam, India.
Insiden itu berlaku ketika Amerika Syarikat dan Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Iran sejak Sabtu lalu yang dilaporkan mengorbankan Pemimpin Agung Iran, Ali Khamenei serta 786 individu lain.
Sebagai tindak balas, Tehran dilaporkan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan lokasi berkaitan Amerika Syarikat di negara Teluk sehingga menyebabkan enam anggota perkhidmatan negara itu terbunuh manakala ramai lagi cedera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








