Iran bertegas tidak akan hentikan program pengayaan uranium – Menteri Luar
TEHRAN – Iran menegaskan pihaknya tidak akan menghentikan program pengayaan uranium walaupun kemudahan nuklear negara itu mengalami kerosakan serius akibat serangan udara oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel bulan lalu.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, program tersebut adalah hasil pencapaian saintis Iran dan kini menjadi soal maruah nasional.
“Program ini terhenti buat sementara waktu kerana kerosakan yang serius, tetapi kami tidak akan mengalah.
“Ia adalah kejayaan para saintis kami dan kini lebih daripada itu, ia adalah lambang kebanggaan negara,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama saluran televisyen AS, Fox News yang disiarkan semalam.
Menurut Araghchi, Iran masih terbuka untuk berbincang dengan AS mengenai isu nuklear namun tidak akan melibatkan rundingan secara langsung buat masa ini.
“Jika mereka datang dengan niat untuk mencari penyelesaian menang-menang, saya sedia berbincang.
“Kami juga bersedia mengambil sebarang langkah membina keyakinan bagi membuktikan bahawa program nuklear Iran adalah untuk tujuan aman dan akan kekal begitu.
“Kami tidak akan membangunkan senjata nuklear. Sebagai balasan, kami harapkan sekatan ke atas Iran ditarik balik,” jelas Araghchi.
Dalam temu bual berdurasi 16 minit itu, Araghchi menyeru agar penyelesaian secara diplomatik dipilih dalam menangani isu nuklear Iran.
Terdahulu, Iran dan AS pernah terlibat dalam rundingan awal tahun ini bagi merangka perjanjian baharu, tujuh tahun selepas bekas Presiden Donald Trump menarik keluar AS daripada Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) yang ditandatangani Iran bersama kuasa-kuasa besar dunia pada 2015.
Di bawah perjanjian JCPOA, Iran bersetuju membuka kemudahan nuklearnya untuk pemeriksaan antarabangsa sebagai pertukaran kepada penghapusan sekatan ekonomi.
Bagaimanapun, rundingan tersebut terhenti selepas Israel melancarkan serangan udara mengejut ke atas pelbagai lokasi ketenteraan dan nuklear di Iran pada 13 Jun lalu.
Serangan tersebut mengorbankan lebih 900 orang di Iran, manakala sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh di Israel sebelum gencatan senjata berkuat kuasa pada 24 Jun.
Iran sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa program pengayaan uranium negara itu hanya untuk tujuan kegunaan awam dan bukannya senjata nuklear.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







