Trump akui rundingan AS-Iran belum selesai, beberapa isu utama masih dibincang
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengakui rundingan perjanjian damai melibatkan AS dan Iran masih belum dimuktamadkan sepenuhnya walaupun kedua-dua pihak dilaporkan semakin hampir mencapai persetujuan.
Menurut Trump, beberapa aspek utama dalam memorandum persefahaman antara Washington dan Tehran telah dipersetujui, namun butiran akhir termasuk isu program nuklear Iran serta pembukaan Selat Hormuz masih dalam proses rundingan.
“Perkara-perkara akhir serta butiran perjanjian itu sedang dibincangkan ketika ini,” katanya menerusi platform Truth Social sambil memaklumkan pengumuman rasmi hanya akan dibuat selepas semua perkara diselesaikan.
Agensi berita antarabangsa melaporkan, Trump sebelum ini mendakwa rundingan damai itu ‘hampir dimuktamadkan’ dan boleh membuka semula laluan strategik Selat Hormuz yang menjadi nadi perdagangan minyak dunia.
Bagaimanapun, laporan lain menyebut Trump turut mengarahkan wakil rundingan AS supaya tidak tergesa-gesa memeterai sebarang persetujuan, sebaliknya memastikan semua syarat dipenuhi terlebih dahulu.
Dalam perkembangan sama, sumber memetik pegawai kanan Iran sebagai berkata Tehran belum bersetuju menyerahkan simpanan uranium diperkaya miliknya, sekali gus menunjukkan masih terdapat perbezaan ketara antara kedua-dua pihak mengenai isu nuklear.
Trump turut menegaskan bahawa beliau hanya akan menandatangani perjanjian yang mampu menghalang Iran daripada memiliki senjata nuklear.
Sementara itu, media antarabangsa melaporkan rundingan turut melibatkan usaha membuka semula Selat Hormuz, selain kemungkinan pengurangan sekatan ekonomi terhadap Iran sebagai sebahagian daripada pakej penyelesaian konflik.
Perkembangan rundingan tersebut terus mendapat perhatian masyarakat antarabangsa memandangkan sebarang persetujuan berpotensi memberi kesan besar terhadap keselamatan Asia Barat dan kestabilan pasaran tenaga global.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








