Trump tawar RM235 juta juta tangkap Presiden Venezuela
AS dakwa Maduro pengedar dadah paling berbahaya di dunia
WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) mengumumkan ganjaran baharu sebanyak AS$50 juta (RM235 juta) kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat sehingga membawa kepada penangkapan
Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.
Langkah itu menyaksikan ganjaran terhadap Maduro kini digandakan berbanding tawaran sebelumnya sebanyak AS$25 juta yang diumumkan oleh pentadbiran Presiden Joe Biden, dan jauh lebih tinggi daripada ganjaran awal AS$15 juta ketika era Presiden Donald Trump pada 2020.
AS mendakwa Maduro merupakan antara pengedar dadah paling berbahaya di dunia dan terlibat dalam kerjasama dengan kartel jenayah terancang untuk menyeludup kokain bercampur fentanyl ke dalam negara itu.
Menerusi video yang dimuat naik di media sosial, Peguam Negara AS, Pam Bondi mendakwa Maduro mempunyai hubungan dengan kumpulan jenayah terkenal seperti Tren de Aragua dan Cartel of the Suns dari Venezuela serta kartel Sinaloa dari Mexico.
“Dia merupakan salah seorang pengedar dadah terbesar di dunia dan satu ancaman kepada keselamatan negara kami. Oleh itu, kami menggandakan ganjaran kepada AS$50 juta,” katanya.
“Di bawah kepimpinan Presiden Trump, Maduro tidak akan terlepas daripada keadilan dan dia akan dipertanggungjawabkan atas jenayah keji yang dilakukannya,” kata Bondi memetik laporan Al-Jazeera.
Beliau turut memaklumkan Jabatan Kehakiman AS telah merampas lebih AS$700 juta dalam bentuk aset yang dikaitkan dengan Maduro, termasuk dua pesawat peribadi, sembilan buah kenderaan dan sejumlah besar kokain yang didakwa mempunyai kaitan langsung dengan pemimpin Venezuela itu.
Sementara itu, Menteri Luar Venezuela, Yvan Gil mengecam tindakan tersebut menerusi platform Telegram dan menyifatkannya sebagai usaha mengalihkan perhatian daripada isu skandal dalam negara AS sendiri.
“Aksi yang ditunjukkannya adalah satu jenaka, satu usaha terdesak untuk mengalihkan perhatian daripada masalah dirinya sendiri. Maruah tanah air kami tidak untuk dijual. Kami menolak operasi propaganda politik yang kasar ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







