LUAR NEGARA

Trump tangguh serangan ke atas Iran, dakwa perjanjian damai hampir dimeterai

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa perjanjian damai antara Washington dan Tehran kini di ambang pemeteraian yang sekali gus mendorong beliau menangguhkan rancangan serangan ketenteraan terhadap Iran.

Trump berkata, keputusan membatalkan operasi serangan susulan itu dibuat bagi memberi ruang kepada proses diplomatik yang menurutnya sedang menunjukkan perkembangan positif.

Beliau juga yakin konflik yang tercetus antara kedua-dua negara itu akan berakhir dalam tempoh beberapa hari lagi sekiranya rundingan semasa mencapai kata sepakat.

“Masa dan tempat menandatangan akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya seperti dipetik agensi berita antarabangsa.

Menurut Trump, rundingan tersebut melibatkan kepimpinan tertinggi Iran dan telah mendapat persetujuan daripada pihak berkaitan di negara itu.

Beliau turut mendakwa butiran utama perjanjian berkenaan telah dipersetujui oleh AS bersama sekutu serantaunya termasuk Israel.

Pengumuman itu memberi sentimen positif kepada pasaran global apabila harga minyak dan pasaran saham menunjukkan kestabilan susulan harapan terhadap pengurangan ketegangan di Asia Barat.

Bagaimanapun, Iran masih belum memberikan pengesahan rasmi berhubung dakwaan tersebut.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata, Tehran belum membuat keputusan muktamad mengenai cadangan perjanjian yang diperkatakan Trump.

Sementara itu, agensi berita Iran, Tasnim melaporkan bahawa Trump sebelum ini beberapa kali mengumumkan kemungkinan perjanjian damai dicapai dalam tempoh dua bulan lalu, namun tiada perkembangan rasmi diumumkan oleh pihak Iran.

Menurut laporan itu, kenyataan Trump perlu dinilai secara berhati-hati selagi tiada pengesahan daripada Tehran mengenai sebarang persefahaman atau persetujuan yang dicapai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button