BERITA SEMASALUAR NEGARA

Cadangan belanjawan ketenteraan AS$1.5 trilion bagi 2027 cetus kebimbangan perang

WASHINGTON – Cadangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk meningkatkan belanjawan ketenteraan negara itu kepada AS$1.5 trilion bagi 2027, berbanding AS$901 bilion pada 2026, mencetuskan kebimbangan global mengenai kemungkinan tercetusnya konflik berskala besar, termasuk risiko peperangan.

Dalam satu hantaran di Truth Social, Trump berkata, cadangan itu dikemukakan selepas mengadakan rundingan yang panjang dan sukar dengan Senator, Ahli Kongres, setiausaha dan wakil politik lain.

“Saya memutuskan demi kebaikan negara kita, khususnya dalam keadaan yang amat bergolak dan berbahaya ini, belanjawan ketenteraan kita bagi 2027 tidak seharusnya AS$1 trilion, sebaliknya AS$1.5 trilion.

“Ini akan membolehkan kita membina ‘Tentera Impian’ yang selayaknya menjadi hak kita dan yang lebih penting, memastikan kita kekal selamat dan terjamin, tanpa mengira siapa musuhnya,” kata Trump.

Pengumuman Trump itu dibuat hanya beberapa hari selepas serbuan AS ke atas Venezuela yang menyaksikan penahanan Presiden negara Amerika Selatan itu, Nicolas Maduro, bersama isterinya.

Pada pertengahan Disember lalu, Senat AS meluluskan rang undang-undang dasar pertahanan bernilai AS$901 bilion yang sebelum itu mendapat kelulusan Dewan Perwakilan, dikenali sebagai Akta Kebenaran Pertahanan Negara bagi Tahun Fiskal 2026, sebelum segera ditandatangani Trump.

Bagaimanapun, cadangan terbaharu Trump berhubung peningkatan belanjawan ketenteraan itu masih memerlukan kelulusan Kongres.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, AS membelanjakan jauh lebih besar untuk sektor ketenteraannya berbanding mana-mana negara lain, sama ada dari segi jumlah keseluruhan mahupun peratusan perbelanjaan ketenteraan global.

AS kekal sebagai pembelanja ketenteraan terbesar dunia dengan perbelanjaan mencecah AS$997 bilion pada 2024, menurut Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI).

Pada tahun sama, sebanyak 39 syarikat AS yang tersenarai dalam kelompok 100 teratas SIPRI merekodkan hasil jualan senjata gabungan berjumlah AS$334 bilion, meningkat 3.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button