Iran tidak merancang adakan pusingan baharu rundingan dengan AS
TEHRAN – Iran tidak merancang untuk mengadakan pusingan baharu rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) sambil menyatakan Washington telah melanggar perjanjian sejak ia mula dilaksanakan.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei berkata, Tehran turut tidak melupakan serangan AS ke atas negara itu sewaktu rundingan diplomatik sebelum ini, sambil menegaskan bahawa Iran akan terus mempertahankan kepentingan nasionalnya.
“Sambil mendakwa menyokong diplomasi dan bersedia untuk berunding, AS sebenarnya melakukan tindakan yang langsung tidak menunjukkan kesungguhan dalam meneruskan proses diplomatik,” katanya kepada al-Jazeera, hari ini.
Baghaei turut menambah, serangan AS ke atas sebuah kapal kargo Iran pagi tadi termasuk sekatan yang dikenakan ke atas pelabuhan Iran serta kelewatan dalam melaksanakan gencatan senjata di Lubnan semuanya merupakan “pelanggaran jelas terhadap gencatan senjata”.
AS dijangka menghantar delegasi ke Pakistan yang diketuai oleh Naib Presiden, JD Vance untuk rundingan yang dirancang pada petang ini, namun kini ia kelihatan tidak mungkin berlaku, sekurang-kurangnya seperti yang dijadualkan.
Iran akan membuat “keputusan yang sewajarnya berhubung kesinambungan proses rundingan”, tambah Baghaei.
Pegawai Iran sebelum ini telah menyatakan kecurigaan mereka bahawa kenyataan Donald Trump mengenai kemungkinan perjanjian adalah satu helah untuk melancarkan serangan mengejut.
Sebagai rekod, perang AS-Israel ke atas Iran yang bermula pada 28 Februari lalu, serta perang selama 12 hari tahun lalu, tercetus ketika Iran dan AS sedang berunding mengenai program nuklear Iran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








