BERITA SEMASALUAR NEGARA

PBB sifatkan serangan AS di Venezuela ‘duluan berbahaya’

NEW YORK – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan serius terhadap tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Venezuela yang disifatkan sebagai satu ‘duluan berbahaya’ serta bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, melalui jurucakapnya, Stephane Dujarric, berkata, kebimbangan itu dinyatakan semalam menjelang kemungkinan mesyuarat Majlis Keselamatan PBB susulan serangan AS yang menggulingkan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.

“Perkembangan ini merupakan satu preseden berbahaya. Setiausaha Agung terus menegaskan kepentingan pematuhan sepenuhnya oleh semua pihak terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam PBB.

“Beliau amat bimbang bahawa peraturan undang-undang antarabangsa tidak dipatuhi,” kata Stephane.

Majlis Keselamatan PBB sebelum ini telah bersidang sebanyak dua kali pada Oktober dan Disember lalu berhubung ketegangan yang semakin memuncak antara AS dan Venezuela.

Venezuela dan Colombia, dengan sokongan Rusia dan China, sebelum ini turut meminta Majlis Keselamatan PBB yang dianggotai 15 negara bersidang bagi membincangkan serangan berkenaan, namun tarikh mesyuarat masih belum ditetapkan.

Sementara itu, Duta Venezuela ke PBB, Samuel Moncada, menyifatkan serangan AS sebagai berbahaya dan mengorbankan nyawa terhadap sebuah negara yang sedang aman, selain memberi amaran tindakan itu boleh mengancam keamanan serta keselamatan serantau dan global.

“AS sudah melanggar Piagam PBB yang menjadi asas penubuhannya.

“Semua negara anggota hendaklah menahan diri, dalam hubungan antarabangsa mereka, daripada ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap keutuhan wilayah atau kebebasan politik mana-mana negara,” katanya.

Sejak beberapa bulan lalu, pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, meningkatkan operasi ketenteraan di perairan berhampiran Venezuela, termasuk menyasarkan bot yang disyaki terbabit dalam penyeludupan dadah serta memintas kapal tangki minyak Venezuela.

Bagaimanapun, AS mempertahankan tindakannya dengan merujuk Artikel 51 Piagam PBB yang membenarkan tindakan mempertahankan diri sekiranya berlaku serangan bersenjata.

Dalam pada itu, Duta AS ke PBB, Mike Waltz, menegaskan tindakan tersebut bukan bertujuan menukar kerajaan Venezuela, sebaliknya bagi membawa keadilan terhadap Maduro yang didakwa terbabit dalam aktiviti jenayah dan keganasan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button