18 maut, 108 cedera dalam serangan AS ke atas Iran
TEHERAN – Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh manakala 108 lagi cedera susulan serangan terbaharu Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, menurut Menteri Kesihatan Iran, Mohammad-Reza Zafarghandi.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang disiarkan di laman web Pejabat Presiden Iran pada Rabu, lapor Xinhua.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Luar Iran mengecam keras serangan berkenaan yang disifatkan sebagai satu lagi tindakan pencerobohan AS terhadap negara itu.
Kementerian berkenaan mendakwa serangan yang dilancarkan AS pada malam Selasa menyasarkan beberapa lokasi awam dan infrastruktur perkhidmatan, selain menyebabkan kematian dan kecederaan orang awam serta kerosakan terhadap harta benda awam dan persendirian.
Iran turut menegaskan pendiriannya untuk mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan serta keutuhan wilayah negara itu daripada sebarang bentuk pencerobohan.
Sementara itu, Pemerintah Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) menerusi hantaran di platform X pada Rabu mengesahkan pasukannya melancarkan satu siri serangan terhadap sasaran ketenteraan Iran.
CENTCOM berkata tindakan itu dilakukan susulan apa yang didakwa sebagai cubaan serangan terbaharu oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) terhadap kapal komersial di Selat Hormuz serta anggota tentera AS.
Sebagai tindak balas, Iran dilaporkan menyerang beberapa pangkalan dan aset AS yang berada di Jordan, Kuwait, Bahrain, wilayah Kurdistan di Iraq serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Konflik terbabit sekali lagi meningkatkan ketegangan antara Tehran dan Washington, khususnya selepas beberapa siri serangan dan tindakan balas yang menyasarkan aset ketenteraan kedua-dua pihak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








