LUAR NEGARA

UNESCO kecam serangan udara AS-Israel ke atas sekolah di Iran

PARIS – Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengecam serangan udara Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang memusnahkan sebuah sekolah rendah perempuan di bandar Minab, selatan Iran, Sabtu lalu.

Badan dunia itu dalam satu kenyataan berkata, serangan itu merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa ketika keganasan serantau semakin memuncak.

Tambahnya, pengeboman itu mengorbankan sekurang-kurangnya 150 orang dan mencederakan hampir 100 yang lain, dengan ramai pelajar dipercayai antara mangsa.

Agensi itu memberi amaran bahawa sekolah merupakan kawasan yang dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan dan menegaskan serangan terhadap institusi pendidikan membahayakan pelajar dan guru serta menjejaskan hak untuk mendapat pendidikan.

Sementara itu, Pemenang Hadiah Keamanan Nobel dan Utusan Keamanan PBB, Malala Yousafzai berkata, beliau amat terkejut dan berasa amat sedih dengan serangan itu, sambil menambah bahawa pembunuhan orang awam, khususnya kanak-kanak, adalah sesuatu yang tidak berperikemanusiaan dan beliau mengecamnya tanpa berbelah bahagi.

“Saya menggesa suapay semua keganasan dihentikan.

“Semua negara dan pihak terlibat mesti menunaikan tanggungjawab mereka di bawah undang-undang antarabangsa untuk melindungi orang awam dan memastikan keselamatan sekolah.

“Setiap kanak-kanak berhak untuk hidup dan belajar dalam keadaan aman,” katanya dalam hantaran di akaun media sosial miliknya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button