BERITA SEMASAPMX

Malaysia gesa henti konflik Asia Barat, utamakan rundingan

KUALA LUMPUR – Malaysia menyambut baik seruan supaya semua pihak menahan diri dalam konflik yang semakin memuncak di rantau Teluk dan Asia Barat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, seruan tersebut termasuk yang muncul daripada kepimpinan tertinggi Iran wajar diberi perhatian serius serta dihormati, selari dengan pendirian dwipartisan yang diambil oleh Parlimen Malaysia dalam isu berkenaan.

Menurutnya, walaupun akan sentiasa wujud pihak yang mendesak pendekatan lebih keras, sejarah jarang memihak kepada mereka yang memilih jalan peningkatan konflik berbanding rundingan ketika ruang dialog masih terbuka.

“Memastikan pintu dialog itu terus terbuka memerlukan keberanian yang besar,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, situasi semasa kekal membimbangkan apabila beberapa negara termasuk Bahrain, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu berdepan serangan berulang.

Beliau berkata, keganasan turut merebak ke Azerbaijan, Jordan dan Turkiye selain melibatkan kemudahan penting seperti fasiliti tenaga, pemasangan air serta infrastruktur lain yang menjadi kebergantungan jutaan penduduk untuk kehidupan seharian.

Katanya, laluan utama minyak dan perkapalan dunia juga melalui kawasan perairan tersebut dan sebarang gangguan boleh memberi kesan besar bukan sahaja kepada rantau berkenaan tetapi juga kepada dunia.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Malaysia bersedia menyokong sebarang usaha yang berwibawa ke arah rundingan bagi menghentikan permusuhan.

Pada masa sama, Anwar turut menggesa masyarakat antarabangsa bertindak segera dan dengan penuh keazaman sebelum konflik tersebut meragut lebih banyak nyawa serta menarik lebih banyak negara ke dalam kancah pergolakan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button