Malaysia minta Kanada pertimbang semula pengecualian visa untuk rakyat Malaysia
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan harapan agar kerajaan Kanada mempertimbangkan semula dasar visanya terhadap rakyat Malaysia, selaras dengan layanan mesra yang diberikan kepada negara-negara lain dalam Komanwel.
Permintaan itu disampaikan Anwar melalui perbualan telefon bersama Perdana Menteri Kanada, Mark Carney yang dihubungi beliau ketika berada di Paris bagi lawatan rasmi, hari ini.
“Saya menyuarakan harapan agar Kanada dapat mempertimbangkan semula pengecualian visa kepada rakyat Malaysia, selaras dengan layanan yang diberikan kepada negara-negara Komanwel lain demi memperkukuh hubungan antara rakyat dan memperluas pertukaran pelbagai hala,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Perdana Menteri, pengecualian visa akan membuka ruang lebih luas kepada hubungan rakyat dengan rakyat serta merangsang pertukaran pendidikan, pelaburan dan pelancongan antara kedua-dua negara.
Dalam perbualan itu, Anwar turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Carney di atas kemenangan Parti Liberal dalam Pilihan Raya Kanada baru-baru ini.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan strategik dengan Kanada dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, kerjasama pertahanan, tenaga bersih, transformasi digital serta teknologi baharu.
Beliau turut menyambut baik penglibatan berterusan PETRONAS dalam projek LNG Canada, yang disifatkan sebagai simbol kukuh kerjasama tenaga antara kedua-dua negara, dan berpotensi menjadi pencetus kepada usaha peralihan tenaga masa depan yang lebih lestari.
Katanya, sebagai anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Malaysia dan Kanada berkongsi nilai dalam memperjuangkan prinsip perdagangan bebas yang terbuka, saksama dan inklusif berasaskan multilateralisme.
Anwar juga menegaskan kepentingan memperkukuh Perkongsian Strategik ASEAN-Kanada dan menggesa agar rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat demi kepentingan serantau dan manfaat bersama.
Sebagai penutup, beliau turut menjemput Perdana Menteri Kanada untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dalam masa terdekat sebagai langkah memperkukuh lagi hubungan diplomatik dan persahabatan yang telah terjalin sekian lama antara kedua-dua negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








