Anwar bangga kejayaan Jojo harumkan nama Malaysia di pentas dunia
KUALA LUMPUR – Keazaman dan semangat juang atlet muda Muay Thai negara, Johan Ghazali yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kejayaan Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo mencerminkan nilai sebenar seorang anak muda Malaysia yang berdisiplin, berjiwa besar dan tidak mudah mengalah dalam mengejar impian.
“Saya berbesar hati menerima kunjungan Johan Ghazali (Jojo), atlet Muay Thai muda yang telah mengharumkan nama Malaysia dan menempah kejayaan yang amat membanggakan di pentas antarabangsa.
“Keazaman, disiplin dan semangat juang yang ditunjukkan oleh saudara Jojo mencerminkan nilai sebenar seorang anak muda Malaysia yang tidak mudah mengalah dalam mengejar impian,” katanya dalam satu kenyataan selepas bertemu dengan petarung One Championship (ONE) itu hari ini.
Menurut Anwar, lebih membanggakan apabila Jojo turut aktif dalam kempen kesedaran membanteras budaya buli, selain menyuntik inspirasi kepada anak muda untuk membina keyakinan dan jati diri.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa semangat dan sokongan berterusan akan melahirkan lebih ramai atlet muda yang mampu mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
Memetik kata mantan Presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy, Anwar menegaskan bahawa semangat kecintaan kepada negara perlu disemai melalui usaha dan sumbangan setiap warganya.
“Ask not what your country can do for you but ask what you can do for your country (Jangan tanya apa yang negara boleh lakukan untuk kamu, tetapi tanyalah apa yang kamu boleh lakukan untuk negara),” katanya.
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Jojo atas kejayaan dan komitmennya terhadap negara serta masyarakat.
“Teruskan usaha gigih saudara yang menyinar serta meniup inspirasi kepada generasi muda yang cinta dan mahu menyumbang kepada negara,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








