SUKAN

Pelumba F1 pilih basikal, kayuh dari Sepang menuju Singapura

KUALA LUMPUR – Pelumba Cadillac, Valtteri Bottas meneruskan perjalanan ke Singapura dengan berbasikal selepas beraksi pada Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), kelmarin.

Pelumba dari Finland itu dilaporkan mengayuh sejauh 161.91 kilometer dari Port Dickson ke Muar dalam tempoh lima jam 45 minit, menerusi laluan PD, Linggi, Masjid Tanah, Bandar Melaka sebelum tiba di Muar.

Menurut Tarmacsportmy, Bottas dijangka mampu tiba di pusat pemeriksaan Johor-Singapura hari ini.

Sebelum itu, Bottas memulakan kayuhan dari SIC ke Sungai Pelek sebelum meneruskan perjalanan merentasi laluan menuju Singapura.

Aktiviti kayuhan itu turut mencuri perhatian pengguna media sosial apabila laman Facebook, Autosport berkongsi gambar Bottas yang sedang berbasikal menuju destinasi berkenaan.

“Valtteri Bottas kini sedang berbasikal sejauh 350 kilometer dari Sepang ke Singapura untuk menghadiri Grand Prix seterusnya,” tulis laman berkenaan.

Bottas turut berkongsi video menerusi hantaran di Instagram miliknya yang memaparkan dirinya mengayuh basikal di sebuah jalan sempit dan gelap.

“Ya, saya sedang berbasikal ke Singapura dengan Canyon Grail CFR baharu saya, melalui laluan berkerikil yang jarang dilalui,” tulisnya.

Berdasarkan rekod aktiviti pada aplikasi berbasikal Wahoo ELEMNT ROAM 3 dan Strava, Bottas menamakan kayuhan itu sebagai “Malaysia to Singapore Day 2”.

Untuk rekod, GP Singapura akan berlangsung dari Jumaat hingga Ahad ini.

Terdahulu, Bottas dilaporkan berbasikal meredah kesesakan lalu lintas yang teruk di SIC selepas GP Gulf Air Bahrain, dengan dia antara tiga pelumba yang gagal menamatkan perlumbaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button