BISNES & EKONOMI

Zetrix AI kemuka cadangan penyelesaian isu tunggakan kutipan hasil JPJ

KUALA LUMPUR – Zetrix AI Bhd sudah mengemukakan cadangan kepada kerajaan bagi menyelesaikan tunggakan kutipan hasil susulan penggantungan perkhidmatannya, bermula semalam.

Syarikat tersebut dalam satu kenyataan semalam berkata, keutamaan kini adalah untuk menyelesaikan obligasi teragak serta berusaha ke arah memulihkan semula perkhidmatan yang terjejas, tertakluk kepada kelulusan kerajaan.

“Zetrix AI telah mengemukakan satu cadangan penyelesaian kepada kerajaan Malaysia untuk menangani isu tunggakan kutipan hasil berkenaan bagi pertimbangan pihak kerajaan,” kata kenyataan tersebut.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak mendedahkan butiran terperinci mengenai cadangan tersebut mahupun jumlah yang terlibat.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mendedahkan syarikat itu berdepan isu tunggakan hasil kerajaan berjumlah RM314 juta melibatkan kutipan yang dibuat antara 19 Mei hingga 30 September tahun ini.

Tunggakan berkenaan, katanya bukanlah jumlah terkumpul selama tiga tahun seperti yang dilaporkan sebelum ini, sebaliknya terkumpul dalam tempoh beberapa bulan.

Laporan media terdahulu menyebut Zetrix, yang sebelum ini dikenali sebagai MyEG Services Bhd, berhutang lebih RM200 juta kepada kerajaan dalam bentuk hasil kutipan yang belum diserahkan.

Laporan The Straits Times yang memetik dokumen rasmi dan sumber kerajaan pada 2 Oktober melaporkan, jumlah itu telah melebihi RM200 juta menjelang akhir September dan melibatkan kutipan pembaruan cukai jalan, lesen memandu serta saman trafik.

Walau bagaimanapun, penjelasan terkini daripada Anthony mengesahkan jumlah tunggakan sebenar adalah sebanyak RM314 juta yang merangkumi tempoh dari 19 Mei hingga 30 September.

Anthony turut dilaporkan berkata, syarikat berkenaan ada menyerahkan cek bertarikh tertangguh (post-dated cheque) bernilai RM231 juta bertarikh 30 September, namun pihak bank tidak memproses pembayaran tersebut susulan arahan daripada syarikat berkenaan.

Kerajaan seterusnya menggantung perkhidmatan pembayaran JPJ melalui MyEG dan Zetrix AI berkuat kuasa 5 Oktober.

Zetrix AI, melalui perniagaan MyEG, telah menjadi ejen pemungut JPJ sejak tahun 2000 bagi mengendalikan perkhidmatan termasuk pembaruan lesen kenderaan motor, tukar nama milik kenderaan, perkhidmatan lesen memandu serta pembayaran saman elektronik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button