KDN FC tidak mempunyai tunggakan gaji – jelas FIB mengenai status kelab berpangakalan di Kelantan itu
KUALA LUMPUR – Badan bebas First Instance Body (FIB) memberi penjelasan status pelesenan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) bagi musim 2025–2026, susulan isu tunggakan gaji dan bayaran kepada agensi kerajaan.
Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, berdasarkan Artikel F.04 Kriteria Kewangan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024–2025, setiap pemohon lesen perlu membuktikan tiada tunggakan bayaran kepada pekerja atau pihak berkuasa seperti LHDN, KWSP, PERKESO dan EIS.
“Sekurang-kurangnya mempunyai pelan bayaran ansuran yang dipersetujui bersama sebelum 31 Disember 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semakan bersama Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mendapati KDN FC tidak mempunyai tunggakan gaji melibatkan pasukan utama Liga Super setakat tarikh tersebut.
Mohd Nasir turut berkata, kelab itu telah mengemukakan dokumen persetujuan bersama berkenaan pelan ansuran gaji tertunggak bagi pasukan bawah 23 tahun, yang ditandatangani oleh semua pemain terlibat.
“Dokumen sokongan itu memenuhi kehendak Artikel F.04 dan Unit Pelesenan Kelab MFL akan terus memantau pematuhan pelan ansuran tersebut,” katanya lagi.
Selain itu, KDN FC turut mengemukakan surat permohonan bayaran ansuran kepada KWSP dan PERKESO, lengkap dengan pengesahan cop rasmi agensi berkenaan.
FIB mengarahkan agar bukti pembayaran diserahkan secara berkala kepada Unit Pelesenan Kelab sehingga semua tunggakan dilunaskan sepenuhnya.
“Jika terdapat pengisytiharan tidak tepat atau maklumat yang menyalahi prosedur kepada badan pelesenan, siasatan boleh dijalankan terhadap perkara tersebut,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








