Sultan Nazrin berkenan rasmi IPD Muallim bernilai RM85 juta
TANJUNG MALIM – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, di sini hari ini, yang dibangunkan dengan kos RM85 juta bagi memperkukuh prasarana dan keupayaan pasukan keselamatan di daerah berkenaan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pembangunan kompleks berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kesiapsiagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seiring perkembangan pesat daerah Muallim.
Katanya, daerah itu yang merangkumi Tanjung Malim, Slim River, Behrang, Trolak dan Proton City memerlukan kesiapsiagaan pasukan polis yang lebih dinamik bagi menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks.
“Perasmian ini menandakan suatu lagi pencapaian penting dalam usaha kerajaan memperkukuhkan prasarana keselamatan dan meningkatkan keupayaan penyampaian perkhidmatan kepolisan kepada rakyat khususnya di daerah Muallim,” katanya dalam sembah ucapannya pada majlis perasmian itu, hari ini.
Menurutnya, pembangunan kompleks IPD Muallim bermula pada 27 Disember 2017 di atas tapak seluas 11.34 hektar dan siap sepenuhnya pada 30 Jun 2025.
Beliau berkata, projek berkenaan merupakan pelaburan kerajaan bernilai RM85 juta, manakala penyerahan kompleks kepada pihak berkaitan dibuat pada 15 Oktober 2025.
“Kompleks yang tersergam indah di atas tapak seluas 11.34 hektar ini telah siap sepenuhnya pada 30 Jun 2025.
“Ia bukan sahaja bangunan pentadbiran malah ia adalah hab operasi yang dilengkapi dengan teknologi terkini, sistem komunikasi yang efisien dan kemudahan sokongan yang kondusif,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Shamsul Anuar berkata, pembangunan kompleks berkenaan juga selaras dengan pengisytiharan daerah Muallim kira-kira sedekad lalu, sekali gus mencerminkan langkah proaktif kerajaan dalam menyediakan kemudahan keselamatan yang bersesuaian dengan keperluan daerah itu.
Katanya, kekuatan institusi kepolisan bukan semata-mata bergantung kepada kemudahan fizikal atau teknologi, sebaliknya turut bergantung kepada keberanian, disiplin dan integriti setiap anggota.
“Pembangunan fizikal ini perlulah disusuli dengan pembangunan modal insan yang unggul.
“Warga IPD Muallim memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab, selaras dengan kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, dalam mendepani cabaran jenayah moden dan ancaman keselamatan yang semakin kompleks, integriti perlu menjadi asas utama dalam pelaksanaan tugas setiap warga PDRM.
“Dalam mendepani cabaran jenayah moden dan ancaman keselamatan yang semakin kompleks, integriti harus menjadi perisai utama,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







