BERITA SEMASA

Sri Semantan sasar 30 cawangan tahun ini, buka kedai emas ke-21 di Nilai

NILAI – Kedai Emas Sri Semantan menyasarkan untuk mempunyai sekurang-kurangnya 30 buah cawangan di seluruh negara dalam tempoh tahun ini, selepas berjaya membuka cawangan ke-21 di Nilai, Negeri Sembilan.

Pengerusi Kedai Emas Sri Semantan, Mohamad Hafizal Haji Mahmood berkata, pihaknya kini mempunyai sembilan lagi cawangan yang telah mula beroperasi dan hanya menunggu masa untuk dirasmikan secara rasmi.

Majlis perasmian pembukaan cawangan ke-21 Kedai Emas Sri Semantan di Nilai. Foto Malaysia Tribune/ Suziyani.

Menurutnya, antara lokasi cawangan berkenaan ialah Wangsa Maju, Raub, Kuching, Miri, Lahad Datu dan Bahau.

“Sebenarnya, cawangan-cawangan tersebut semuanya telah pun beroperasi, cuma belum dirasmikan lagi.

“Dengan perkembangan ini, insya-Allah sasaran untuk mempunyai 30 buah cawangan dalam tempoh tahun ini dapat direalisasikan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian pembukaan cawangan ke-21 Kedai Emas Sri Semantan di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut menerima banyak cadangan dan permintaan untuk membawa jenama Kedai Emas Sri Semantan ke pasaran luar negara.

Menurutnya, permintaan tersebut antaranya datang dari Thailand, Indonesia dan Filipina.

“Kita memang menerima banyak permintaan dan cadangan untuk membuka cawangan di luar Malaysia, terutama dari Thailand. Selain itu, terdapat juga permintaan dari Indonesia dan Filipina.

“Buat masa ini, kita akan terus memperkukuhkan rangkaian di dalam negara terlebih dahulu, namun peluang untuk berkembang ke pasaran antarabangsa sentiasa terbuka,” katanya.

Menurut beliau, prestasi keseluruhan rangkaian Kedai Emas Sri Semantan berada pada tahap memberangsangkan apabila semua cawangannya berjaya melepasi petunjuk prestasi utama (KPI) jualan harian.

Katanya, beliau tidak dapat menentukan secara khusus cawangan mana yang mencatatkan prestasi terbaik, namun semua cawangan setakat ini menunjukkan pencapaian jualan yang memenuhi sasaran ditetapkan.

“Untuk makluman, semua cawangan kami melepasi KPI jualan setiap hari. Setakat ini, tidak pernah lagi berlaku mana-mana cawangan gagal mencapai KPI yang telah ditetapkan.

“Jadi, secara keseluruhannya kita tidak mempunyai masalah dari segi prestasi jualan,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian itu menjadi bukti kepada sokongan pelanggan serta komitmen seluruh warga Emas Sri Semantan dalam memastikan perniagaan tersebut terus berkembang.

“Segala suka, duka, tangisan dan tawa sepanjang perjuangan ini biarlah menjadi warna yang mencorakkan perjalanan Emas Sri Semantan.

“Kita jadikan hari ini sebagai satu permulaan baharu untuk mencipta lebih banyak peluang dan ruang, bukan sahaja untuk memajukan ekonomi keluarga sendiri, tetapi juga seluruh keluarga besar dan rangkaian Emas Sri Semantan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button