BERITA SEMASA

Kedai emas disimbah cat merah dua kali, pemilik dakwa ada kaitan posting tular

SEREMBAN – Sebuah kedai emas di kawasan perusahaan Senawang, di sini disimbah cat merah buat kali kedua dalam tempoh tiga bulan, menyebabkan pemiliknya tampil mendedahkan kejadian itu di media sosial.

Pemilik Bedul Enterprise, Abdul Hafiz mendakwa terdapat corak sama bagi kedua-dua kejadian apabila premisnya disimbah cat selepas beberapa hantaran berkaitan sebuah syarikat yang sama tular di media sosial.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata kejadian pertama berlaku pada 10 Mei lalu, beberapa hari selepas satu hantaran mengenai syarikat berkenaan tular pada 2 Mei.

“Pada masa ini, kami tidak mahu viralkan. Kami diam sebab tidak mahu besarkan dan hebohkan perkara ini. Kenalan terdekat sahaja tahu. Kes pun dianggap terpencil.

“4 Ogos, ada lagi satu posting kami viral di media sosial mengenai syarikat yang sama. 11 Ogos, kedai kena cat untuk kali kedua,” katanya.

Menurutnya, kejadian terbaharu menyebabkan beliau mengambil keputusan mendedahkan perkara itu kepada umum kerana tidak mahu perbuatan sama berulang.

Beliau turut mendakwa terdapat tiga atau empat individu lain mengalami kejadian sama selepas hantaran mereka berkaitan perkara serupa tular di media sosial.

“Jika ada lagi sesiapa kena dengan gaya yang sama, marilah kita berkumpul. Tidak boleh beri geng-geng ini naik minyak sangat. Nanti ingat untouchable pula,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian sebuah kedai emas yang dipercayai disimbah cat merah.

Menurutnya, kejadian berlaku pada pukul 2.50 pagi semalam apabila suspek yang masih dikesan dipercayai membaling beberapa bungkusan plastik berisi cat merah ke arah bahagian hadapan premis.

“Siasatan awal mendapati premis berkenaan pernah mengalami kejadian sama pada Mei lalu dan satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian tersebut,” katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button