Tajaan HKHM 2026 melonjak 118 peratus, cecah RM48.63 juta – Fahmi
PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 terus mendapat kepercayaan sektor swasta apabila sebanyak 139 rakan strategik tampil menyumbang, dengan nilai tajaan keseluruhan kini mencecah RM48.63 juta.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, jumlah keseluruhan tajaan yang disahkan oleh Jawatankuasa Penajaan Kementerian Komunikasi itu merangkumi sumbangan RM2.7 juta dalam bentuk wang tunai dan RM45.93 juta dalam bentuk barangan serta perkhidmatan (in-kind).
Jelas beliau, kejayaan tersebut mencerminkan komitmen dan kepercayaan teguh sektor swasta serta pemain industri dalam bersama-sama menjayakan sambutan berprestij nasional berkenaan.
“Latar produktif ini membuktikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bukan lagi sekadar acara rasmi kerajaan, sebaliknya berkembang menjadi manifestasi kebersamaan antara kerajaan, sektor swasta, industri dan rakyat dalam memarakkan semangat patriotisme.
“Setakat ini, kementerian melaksanakan sesi libat urus bersama lebih 350 organisasi dengan 139 rakan strategik bersetuju menyumbang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangam Penajaan Rakan Strategik Sambutan HKHM 2026 di Dewan Serbaguna, Menara Komunikasi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, daripada keseluruhan nilai tajaan tersebut, sebanyak 50 peratus adalah berbentuk promosi, 30 peratus barangan untuk agihan pengunjung, manakala 20 peratus lagi disalurkan kepada jawatankuasa penganjuran.
Beliau memberi jaminan setiap sen dan bentuk sumbangan yang diterima akan disalurkan ke dalam Akaun Amanah Sekretariat Merdeka serta diuruskan secara telus, berhemah dan bertanggungjawab.
Fahmi turut memaklumkan Kementerian Kewangan sekali lagi meluluskan sambutan HKHM 2026 sebagai Projek Berkepentingan Nasional di bawah Subseksyen 44(11)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967.
“Pengiktirafan ini membolehkan individu mahu pun syarikat yang menyumbang dalam bentuk in-kind bermula 1 April hingga 16 September 2026 menuntut potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat, tertakluk kepada had RM15 juta.
“Melihat kepada nilai tajaan in-kind yang amat memberangsangkan, Kementerian Komunikasi akan mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kewangan agar mempertimbangkan kenaikan had insentif potongan cukai ini kepada para penaja,” ujarnya.
Sementara itu, sempena sambutan HKHM 2026, kerajaan dengan kerjasama lima syarikat telekomunikasi (CelcomDigi, Maxis, TM, U Mobile dan YES) turut menawarkan Insentif Rebat Rahmah Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
Inisiatif tersebut menawarkan pemberian 10 Gigabait (GB) data secara percuma kepada pengguna prabayar dan pascabayar warganegara Malaysia yang layak, iaitu 5GB pada 31 Ogos dan 5GB lagi pada 16 September.
Maklumat lanjut berkenaan kaedah penebusan dan soalan lazim (FAQ) berhubung insentif data percuma tersebut bakal dimuat naik di portal rasmi Kementerian Komunikasi dalam masa terdekat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








