BERITA SEMASA

Lima parah, tiga cedera dalam kemalangan tiga kenderaan di Papar

PAPAR – Lima lelaki cedera parah manakala tiga lagi mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Andus, di sini pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu menerusi talian NG999 pada jam 7.24 pagi.

Beliau berkata, sepasukan 10 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) kemudian digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 15 kilometer dari balai.

“Pasukan tiba di lokasi pada jam 7.38 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Bezza, Isuzu D-Max serta sebuah motosikal.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika Perodua Bezza melakukan pusingan U sebelum bertembung dengan dua kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesemua lapan mangsa yang terlibat berjaya dikeluarkan daripada kenderaan oleh anggota bomba.

“Empat lelaki berusia 36, 48, 27 dan 15 tahun yang menaiki Perodua Bezza mengalami kecederaan parah.

“Seorang lagi lelaki berusia 33 tahun yang menunggang motosikal turut mengalami kecederaan parah,” katanya.

Rony berkata, tiga lelaki yang berada dalam Isuzu D-Max masing-masing berusia 50, 36 dan 39 tahun pula mengalami kecederaan ringan.

“Semua mangsa diserahkan untuk mendapatkan rawatan lanjut dan dihantar ke hospital menggunakan EMRS Bomba, ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Operasi ditamatkan pada jam 8.13 pagi selepas pemeriksaan mendapati tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button