Percutian Aidilfitri berakhir tragedi, tiga sekeluarga maut di Pulau Tioman
ROMPIN – Hasrat tiga sekeluarga bercuti sempena Aidilfitri bertukar tragedi apabila kesemua mereka maut dalam kemalangan motosikal di Jalan Tekek-Juara, Pulau Tioman, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata nahas berlaku kira-kira pukul 4 petang ketika mereka dalam perjalanan ke hotel penginapan selepas melawat air terjun di Kampung Juara.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang Mohd Sabri Jaafar, 42, dipercayai terbabas ke bahu kiri jalan simen.
Katanya, lokasi kemalangan adalah kawasan jalan curam berbukit dan tidak rata.
“Akibat kemalangan itu mangsa yang bertugas sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) di Putrajaya, meninggal dunia di tempat kejadian.
“Isterinya, Siti Aisyah Suhaime, 32, dan anak pasangan terbabit, Muhammad Yusuf Abdurrahman, 5, meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Tekek,” katanya menerusi kenyataan.
Sharif Shai berkata, berdasarkan siasatan keluarga terbabit tiba di Pulau Tioman hari ini untuk menyambut Aidilfitri dan dijadual pulang pada Ahad.
Katanya, ketika kemalangan semua mangsa yang menunggang motosikal sewa itu tidak memakai topi keledar.
“Berdasarkan siasatan juga penunggang motosikal terbabit tiada lesen,” katanya.
Sharif Shai berkata jenazah tiga sekeluarga terbabit dihantar menggunakan bot Pasukan Polis Marin ke Hospital Rompin malam ini dan proses bedah siasat bakal dilakukan jam 10 pagi esok.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








