Anak parah, bapa patah kaki dalam nahas 10 kenderaan di Lebuh AMJ
MELAKA – Seorang bapa patah kaki manakala anak lelakinya berusia 11 tahun cedera parah selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah pacuan empat roda dalam kemalangan membabitkan 10 kenderaan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Cheng, malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 9 malam itu, kemalangan melibatkan tujuh buah kereta, sebuah lori, sebuah Toyota Hilux dan sebuah motosikal Honda Dash yang dinaiki dua beranak berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, siasatan awal mendapati Toyota Hilux yang dipandu dari arah Malim menuju ke Cheng dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Menurutnya, motosikal yang dinaiki dua beranak itu turut menjadi mangsa rempuhan tersebut.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal lelaki berusia 39 tahun mengalami patah kaki manakala anak lelakinya berusia 11 tahun cedera pada bahagian kepala dan telah diintubasi.
“Pemandu Toyota Hilux yang juga lelaki berusia 29 tahun pula mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa serta pemandu Toyota Hilux dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut.
Muhammad Zaki berkata, ujian saringan dadah dan alkohol ke atas pemandu pacuan empat roda itu didapati negatif.
Bagaimanapun katanya, sampel darah pemandu turut diambil dan akan dihantar ke Jabatan Kimia Melaka bagi menjalankan ujian toksikologi sebagai sebahagian daripada siasatan.
Beliau berkata, semua kenderaan yang terlibat akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) di Alor Gajah untuk pemeriksaan teknikal.
“Rakaman kamera papan pemuka yang merekodkan kemalangan itu telah diperoleh dan akan dijadikan sebagai sebahagian daripada bahan siasatan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















