JENAYAH & MAHKAMAH

Motosikal hilang kawalan: Lelaki Singapura maut dirempuh dua kenderaan

KULAI – Seorang lelaki warga Singapura maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum dirempuh dua kenderaan dalam kemalangan di Kilometer 25.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asistan Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira pukul 3 pagi melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha, kereta Proton dan pacuan empat roda.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berusia 31 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di tengah jalan.

“Kereta dipandu lelaki tempatan berusia 46 tahun yang berada di lorong kiri tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal tersebut.

“Akibat pelanggaran itu, motosikal terbabit memasuki lorong kanan sebelum dilanggar pula oleh pikap dipandu lelaki tempatan berusia 45 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai bagi membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button