Pelajar GiatMARA maut motosikal terjunam ke sungai
MERSING – Seorang pelajar GiatMARA Mersing ditemukan maut selepas motosikal Yamaha Y15 ditungganginya dipercayai terbabas sebelum terjunam ke Sungai Jemaluang di Jalan Sekakap, malam tadi.
Mangsa, Ahmad Danish Zaquan Ahmad Yazir, 19, dipercayai gagal menyelamatkan diri sebelum kejadian itu disedari rakannya yang kemudian menghubungi talian kecemasan pada pukul 11.36 malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin berkata, pihaknya segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejurus menerima panggilan kecemasan.
Menurutnya, operasi itu membabitkan 15 anggota bomba termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Skudai.
Katanya, mangsa ditemukan pada pukul 7.55 pagi tadi oleh pasukan PPDA pada jarak kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir dia dilihat.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi berkenaan turut disertai 11 pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani mengesahkan kejadian berkenaan ketika dihubungi.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Mersing untuk urusan bedah siasat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














