Dua beradik maut dalam kemalangan di Lebuhraya PLUS
SEREMBAN – Dua beradik maut apabila motosikal ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) di sini, pagi ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kejadian lebih kurang pukul 7.05 pagi itu, kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian selepas dipercayai melanggar belakang lori yang sedang bergerak di laluan kiri.
Nanda berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd. Husaini Amir Harun, 29, yang merupakan penunggang motosikal dan adiknya pembonceng, Muhammad Amirul Syafiq Harun, 25.
Kedua-dua mangsa beralamat di Kuala Terengganu.
“Motosikal jenis Yamaha yang ditunggang oleh seorang lelaki berumur 29 tahun bersama seorang pembonceng lelaki berumur 25 tahun dari arah lorong kecemasan telah mengubah haluan masuk ke lorong kiri dan melanggar bahagian belakang lori.
“Akibat perlanggaran, kedua-dua mangsa penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak perubatan yang hadir di lokasi kemalangan.
“Pemandu lori berusia 49 tahun itu pula tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau. kedua-dua mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk pengendalian bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








