Elak binatang melintas, Chegubard kemalangan di Rembau
REMBAU – Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard terselamat selepas kenderaan dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 7.3 Jalan Chengkau–Pilin–Lubuk Cina, tengah malam tadi.
Kejadian pada pukul 12.30 tengah malam itu dipercayai berlaku ketika beliau cuba mengelak seekor binatang yang melintas secara tiba-tiba di laluan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, ketika kejadian mangsa sedang memandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Rembau menuju ke Kampung Lada Chengkau.
“Mangsa cuba mengelak seekor binatang yang tidak dikenal pasti yang melintas dari arah kanan ke kiri jalan.
“Bagaimanapun, kenderaan itu terbabas sebelum melanggar tiang jambatan lebuh raya,” katanya memetik laporan BH Online.
Menurut beliau, Chegubard tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.
Sementara itu, menerusi perkongsian di media sosial, Chegubard meluahkan rasa syukur kerana terselamat dan tidak mengalami kecederaan.
“Berakhirnya kisah ‘anak gajah’ jentera tempur yang pernah beri khidmat dalam banyak aksi massa dan kerja kebajikan selama 13 tahun.
“Alhamdulillah tiada kecederaan. Syukur Allah, semuanya selamat,” tulisnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








