Suami isteri warga emas maut kemalangan babit empat kenderaan
SEREMBAN – Sepasang suami isteri warga emas maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer (KM) 11.5 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH) menghala ke Seremban, malam tadi.
Dalam nahas yang berlaku kira-kira pukul 8.50 malam, pasangan berusia 60-an yang menunggang motosikal Honda ADV350 itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, insiden itu membabitkan motosikal pasangan berkenaan, sebuah van Nissan, kereta Toyota Wish dan Proton Perdana.
“Pihak kami menerima laporan pukul 8.52 malam berhubung kejadian itu sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson digerakkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi, didapati berlaku kemalangan membabitkan empat kenderaan,” katanya.
Tambahnya, seorang lelaki berusia 65 tahun dan isterinya berumur 67 tahun yang menunggang motosikal terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak perubatan.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan BH Online.
Beliau berkata, seorang lelaki warga Indonesia berumur 20-an yang menaiki Toyota Wish mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala pemandu Proton Perdana dan van Nissan tidak mengalami kecederaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








