BERITA SEMASA

Kemalangan trak FRU: 4 anggota masih dirawat di ICU

TELUK INTAN – Empat anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan batu minggu lalu, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Teluk Intan dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Mangsa yang masih dirawat di ICU Hospital Teluk Intan ialah Koperal Haslizal Mohd Ali, 44; Sarjan Mazlan Mat, 50; dan Koperal Mohd Izwan Ishak, 39.

Sementara itu, Koperal Syed Isfan Syed Mohammad, 32, sedang dirawat di ICU HRPB di Ipoh.

Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin, anggota terbaharu yang dibenarkan keluar dari Hospital Teluk Intan pukul 6.30 petang kelmarin adalah Sarjan Mohd Parih Ali, 44.

“Sehingga pagi ini (semalam), tiga anggota polis masih dirawat di ICU Hospital Teluk Intan manakala seorang lagi di HRPB, Ipoh. Saya mendoakan mereka segera pulih sepenuhnya. Laporan daripada doktor menunjukkan perkembangan positif.

“Mereka kini bernafas dengan bantuan oksigen, sedar dan stabil. Saya anggap satu petanda baik. Kebanyakan kecederaan mereka berpunca daripada hentakan akibat kemalangan itu.

“Proses pemulihan penuh mungkin mengambil masa, namun Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak bersama seluruh warga kerja kami komited untuk memastikan kebajikan keluarga mangsa terpelihara.

“Kerana itu kami membuat lawatan berkala ke hospital untuk bertemu keluarga mangsa, mengenal pasti keperluan mereka dan membantu dari segi kebajikan,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Khas IPD Hilir Perak dan menyampaikan 75 sijil penghargaan kepada mereka yang terbabitkan dalam pengurusan insiden tragik itu tadi.

Mangsa pertama yang dibenarkan keluar hospital ialah Koperal Nizam Tarmizi, 38, pada hari kejadian, diikuti Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi, 26 (14 Mei); Koperal Mohd Harrisul Ikhsan Mohd Mahabudin, 39 (16 Mei); dan Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli, 34 (17 Mei).

Menurut Bakri, lawatan berkala turut dilakukan oleh pimpinan tertinggi polis bagi memberikan sokongan moral kepada mangsa dan keluarga.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button