BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Pemandu ‘bas pink’ terlibat kemalangan maut ditahan polis

ALOR GAJAH – Pemandu bas henti-henti yang terlibat dalam kemalangan sehingga mengorbankan nyawa seorang pekerja sub kontraktor TNB di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), semalam, telah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pemandu berusia 37 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan dan akan direman di Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini.

“Saringan air kencing yang dijalankan mendapati pemandu tersebut negatif dadah dan semakan rekod menunjukkan tiada rekod jenayah atau saman trafik,” katanya dalam satu kenyataan.

Kemalangan pada pukul 4.55 petang berhampiran Taman Awan Biru di sini semalam membabitkan sebuah bas yang dalam perjalanan dari Terminal Bas Melaka Sentral ke Lebuh AMJ dengan sebuah Perodua Kembara dipandu mangsa, Muhammad Aiman Mohd Farid, 23.

Rakan mangsa Muhammad Hakimi Hafiz Baharin, 22, cedera dalam kejadian itu manakala pemandu bas dan seorang penumpang wanita berusia 53 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati kereta Perodua Kembara dipandu mangsa telah memberhentikan di bahu jalan sebelum dirempuh dari belakang oleh bas tersebut.

“Akibat pelanggaran itu, Muhammad Aiman tercampak keluar dari kenderaan dan terjatuh ke dalam longkang, mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya lagi.

Ashari berkata, rakaman dari kamera papan pemuka bas telah diperoleh dan siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam video yang tular semalam, mangsa yang tercampak di dalam longkang dilihat diajarkan mengucapkan dua kalimah syahadah oleh orang ramai yang cuba memberi pertolongan di tempat kejadian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button