Polis jejaki waris lelaki maut jatuh dalam longkang di Kajang
KAJANG – Polis sedang mengesan waris kepada seorang lelaki yang ditemukan meninggal dunia dalam longkang berhampiran Lebuhraya Sistem Lingkaran-Lebuhraya Kajang (SILK) di Sungai Ramal, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu kira-kira pukul 2.22 petang.
Menurut beliau, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bersama Bahagian Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati mayat lelaki berkenaan, yang tidak dapat dipastikan bangsanya, memakai baju biru dan seluar pendek tanpa kasut.
“Tiada sebarang senjata atau barangan peribadi dijumpai di kawasan sekitar, manakala keadaan mayat tidak sempurna serta sudah mula membusuk,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Naazron berkata, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi menunjukkan kira-kira jam 6.03 petang, Ahad lalu, seorang individu dilihat berjalan kaki di tepi lebuh raya sebelum memanjat tembok besi dan terjatuh ke dalam longkang.
“Mayat berkenaan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kajang untuk bedah siasat dan hasil laporan mengesahkan punca kematian adalah kecederaan akibat terjatuh dari tempat tinggi.
“Identiti si mati masih belum dikenal pasti, namun terdapat tatu berbentuk kompas dengan anak panah serta tulisan ‘JOSEPH’ pada lengan kiri,” katanya.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus berhubung dengan Penolong Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Borhan Mohamad di talian 014-3289730.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







