BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Polis tahan empat lelaki disyaki terlibat aktiviti sabung ayam, judi holo

MUKAH – Empat lelaki warga tempatan berusia antara 42 hingga 57 tahun ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti perjudian sabung ayam dan judi holo dalam satu serbuan di kawasan kebun di Pelugau, Selangau, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, serbuan kira-kira pukul 3.30 petang itu dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah hasil maklumat awam.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, sekumpulan lelaki didapati sedang leka menjalankan aktiviti perjudian sabung ayam dan bermain judi holo di sebuah tanah lapang.

“Kesemua individu terbabit cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun empat daripada mereka berjaya diberkas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam operasi tersebut, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan bagi tujuan perjudian termasuk empat ekor ayam hidup, dua ekor ayam mati.

Turut dirampas adalah satu unit alat penimbang, sebuah meja, lima kerusi plastik, sehelai kain holo, satu unit kong holo, tiga bilah dadu, sebuah papan putih serta wang tunai berjumlah RM200.

Kesemua suspek bersama barang rampasan dibawa ke IPD Mukah untuk siasatan lanjut. Ujian saringan air kencing mendapati semua suspek negatif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 73(1)(g) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 serta Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti perjudian yang menyalahi undang-undang kerana boleh dikenakan tindakan tegas termasuk penangkapan dan pendakwaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button