JENAYAH & MAHKAMAH

Pesara rugi RM88,000 ditipu sindiket ‘phone scam’ guna nama polis, pendakwa raya

KUALA TERENGGANU – Seorang pesara berusia 75 tahun kerugian RM88,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis dan pendakwa raya dalam kejadian awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa membuat laporan polis pada jam 9.01 malam, Khamis selepas menyedari dirinya ditipu oleh sindiket terbabit.

Menurutnya, kejadian bermula pada 2 Disember lalu kira-kira jam 10 pagi apabila mangsa menerima panggilan daripada nombor telefon tidak dikenali ketika berada di rumah.

“Pemanggil memperkenalkan diri sebagai Sarjan Razak dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan mendakwa mangsa terlibat dalam kes penggubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Azli berkata, perbualan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang individu lain yang menyamar sebagai pendakwa raya bernama Rosnah Bakar kononnya bagi menyelesaikan siasatan melibatkan wang simpanan mangsa.

Related Articles

“Mangsa ditawarkan jalan penyelesaian kes sebelum diarahkan membuat beberapa transaksi kewangan ke akaun bank berbeza.

“Terpedaya dengan helah sindiket, mangsa membuat tujuh transaksi bermula 4 hingga 18 Disember lalu dan turut diarahkan mengoyakkan resit bayaran,” katanya lagi.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas menceritakan kejadian tersebut kepada isterinya sebelum kedua-duanya hadir ke balai polis untuk membuat laporan.

Menurut Azli, sumber kewangan yang digunakan mangsa adalah wang simpanan Tabung Haji miliknya berjumlah RM38,000 serta wang simpanan isterinya sebanyak RM50,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button