BERITA SEMASA

Scam akaun keldai: RM6.7 juta wang mangsa berjaya dipulangkan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya memulangkan semula RM6.7 juta kepada mangsa penipuan dalam talian sepanjang tahun 2025 hasil penguatkuasaan undang-undang baharu berkaitan kesalahan akaun keldai (mule account) di bawah pindaan Kanun Keseksaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada RM17.5 juta wang mangsa yang telah disita dan dibekukan sepanjang siasatan dijalankan, manakala secara keseluruhan RM34 juta berjaya diselamatkan daripada terus mengalir kepada sindiket penipuan.

Menurut beliau, bagi tahun 2024 pula, sebanyak RM508,479.39 wang mangsa scam berjaya diselamatkan dengan kerjasama PDRM dan Bank Negara Malaysia.

“Angka RM6.7 juta ini bukan diambil secara rambang. Ia melibatkan kes di mana wang mangsa benar-benar berjaya dipulangkan selepas proses siasatan dan perundangan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, bagi Subseksyen 424A Kanun Keseksaan, sebanyak 51 kes telah dilaporkan, dengan 20 kes telah dituduh di mahkamah, manakala 21 kes masih dalam siasatan.

“Subseksyen 424A merupakan peruntukan paling banyak digunakan, melibatkan individu yang memiliki atau mengawal instrumen pembayaran seperti kad ATM, kad debit, kad kredit atau akaun bank yang digunakan untuk tujuan penipuan,” katanya lagi.

Beliau turut memberi contoh modus operandi melibatkan pinjaman dalam talian palsu serta kes ah long yang memegang kad ATM peminjam sebelum digunakan untuk menipu mangsa lain, yang kesemuanya boleh disiasat di bawah subseksyen tersebut.

Dalam pada itu, prestasi pemulangan wang mangsa turut diperkukuh dengan operasi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang kini beroperasi 24 jam sehari, berbanding sebelum ini hanya pada waktu pejabat.

“NSRC kini mempunyai 41 petugas, terdiri daripada 25 pegawai Commercial Crime Bukit Aman dan 16 ejen panggilan yang dilantik oleh Bank Negara, dengan purata 500 panggilan diterima setiap hari,” jelasnya lagi.

Mengulas cabaran semasa, beliau mengakui kadar pemulangan wang masih rendah berbanding jumlah kerugian keseluruhan yang dilaporkan pada 2025 iaitu RM542 juta, namun usaha penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dan kerjasama antara agensi sedang giat dilaksanakan.

“Menangani jenayah penipuan ini memerlukan pendekatan bersepadu termasuk penglibatan MCMC, KPDN dan agensi berkaitan supaya kecekapan siasatan dapat dipertingkatkan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button